Sebuah video tular di media sosial memaparkan dua penunggang basikal dihimpit kenderaan di Lebuh Wawasan, Presint 7.Pix ihsan pembaca
Sebuah video tular di media sosial memaparkan dua penunggang basikal dihimpit kenderaan di Lebuh Wawasan, Presint 7.Pix ihsan pembaca
Samadi Ahmad


Putrajaya: "Pusat pentadbiran kerajaan adalah hub aktiviti berbasikal dan peminat sukan ini dinasihati menggunakan jalan dikhaskan serta mematuhi peraturan sedia ada," ujar Ketua Polis Daerah (IPD) Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz.

Beliau mengulas video tular dua penunggang basikal yang menggunakan lorong kanan jalan raya berhampiran Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Lebuh Wawasan, Presint 7 di sini, hingga menimbulkan kebimbangan orang ramai.

"Penunggang basikal yang baharu menceburi aktiviti basikal ini dinasihati menggunakan laluan selamat sebelum menggunakan jalan raya yang sibuk dan mencabar.

"Selain itu pengguna jalan raya di pusat pentadbiran kerajaan di sini disaran memberi kerjasama dan mematuhi undang-undang bagi mengelak berlaku sebarang kemalangan," katanya tadi.

Menurutnya, pada masa sama pihaknya turut memberikan advokasi kepada peminat sukan ini berkaitan keselamatan bagi mengelak berlaku kemalangan.

Asmadi berkata, pelbagai langkah penguatkuasaan dilaksanakan pihaknya bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di daerah ini termasuk mengadakan operasi motosikal.

"Berdasarkan video tular itu, kelihatan sebuah kereta memecut laju di bahagian kiri penunggang basikal itu dan melanggar lampu isyarat merah.

"Saya berharap pengguna jalan raya saling bertimbang rasa ketika di jalan raya. Polis tidak teragak-agak mengeluarkan kompaun sekiranya mendapati terdapat pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang," katanya.

Dalam kejadian 19 September tahun lalu, seorang penunggang basikal wanita maut selepas dirempuh lori di Jambatan Putrajaya berdekatan Kelab Tasik Putrajaya, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 3:21 PM