KHAIRIL ANWAR ABU KASSIM
KHAIRIL ANWAR ABU KASSIM
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) memandang serius isu keselamatan penunggang basikal di jalan raya.

Ketua Pengarahnya, Dr Khairil Anwar Abu Kassim berkata, ini berikutan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 54 kematian, 18 cedera parah dan 63 cedera ringan akibat kemalangan membabitkan penunggang basikal.

Katanya, MIROS mengenal pasti beberapa intervensi keselamatan jalan raya daripada aspek kejuruteraan dan persekitaran jalan serta tingkah laku pengguna bagi membendung kemalangan membabitkan penunggang basikal.

"Antaranya mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa dan kerajaan tempatan dalam memberikan pandangan serta cadangan terhadap pembinaan dan penambahbaikan lorong basikal.

"Ini bagi menggalakkan penunggang basikal menunggang di tempat yang betul," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata, MIROS turut bekerjasama dengan institusi dalam dan luar negara dalam menjalankan kajian serta penilaian terhadap sikap dan keselamatan penunggang basikal di Malaysia.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa berusaha mencari penyelesaian terbaik untuk meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.

Semalam, MIROS bersama Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Putrajaya dan 3M Malaysia menganjurkan pra-pelancaran Kempen Keselamatan Berbasikal di Dataran Putra, Putrajaya yang bertujuan memupuk sikap menunggang basikal secara selamat dan mematuhi peraturan jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2020 @ 6:46 PM