Lelaki yang ditahan kerana menghalang tugas polis selepas dikesan memandu di bawah pengaruh alkohol di Lebuhraya Persekutuan, Petaling Jaya pagi hari ini. Foto Ihsan PDRM
Lelaki yang ditahan kerana menghalang tugas polis selepas dikesan memandu di bawah pengaruh alkohol di Lebuhraya Persekutuan, Petaling Jaya pagi hari ini. Foto Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi

Petaling Jaya: Lelaki disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol ditahan polis selepas keengganannya memberi kerjasama untuk dibawa ke Cawangan Trafik Balai Polis Petaling Jaya untuk pemeriksaan hari ini.

Dalam kejadian pada 3.20 pagi itu, sepasukan polis dari Unit Kereta Peronda Polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menjalankan rondaan cegah jenayah di Lebuhraya Persekutuan susur masuk Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT) mengesan lelaki berusia 28 tahun yang memandu Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis kemudiannya menahan kereta itu untuk pemeriksaan lanjut.

Bagaimanapun, menurutnya, lelaki berkenaan enggan memberi kerjasama ketika anggota polis mengarahkannya masuk semula ke dalam kenderaan dan duduk di bahagian penumpang.

Katanya, suspek turut mencetuskan provokasi dengan mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis yang bertugas.

"Suspek kini direman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

"Kami tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja yang cuba menghalang penjawat awam melakukan tugas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 5:51 PM