LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam.
LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam.
Mohd Hasbi Sidek


SIASATAN polis mendapati tiada unsur khianat susulan kejadian penunggang motosikal cedera pada dagu akibat terkena tali tangsi dalam kejadian di Lebuhraya Sistem Penyuraian Kuala Lumpur Barat Sdn Bhd (SPRINT) dekat Kampung Kayu Ara, Petaling Jaya, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari'at berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan di lokasi bagi mengenal pasti punca kejadian sebenar.

“Ketika tiba di satu tiang lampu berdekatan Kampung Kayu Ara, mangsa terlanggar seutas tali percayai tali tangsi yang merentang di tengah jalan hingga menyebabkannya mengalami kecederaan pada dagu dan leher.

“Siasatan di lokasi mendapati tiada unsur khianat, namun polis menemui banyak benang dipercayai sisa ikatan iklan yang tidak dibuang sepenuhnya dalam keadaan terjuntai," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Akhbar NSTP melaporkan penghantar makanan menerima 25 jahitan pada dagu selepas terkena tali tangsi ketika menunggang motosikal sewaktu dalam perjalanan menghantar makanan pada 5 petang.

Azman berkata, terdapat satu benang sepanjang 3.2 meter yang terjuntai dan dipercayai akan merentang di lebuh raya apabila ditiup angin sebelum terkena pada mangsa.

Justeru, katanya, pihak berkaitan perlu mengambil tindakan membersihkan iklan dengan sempurna bagi mengelakkan kejadian berulang.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Komunikasi SPRINT Shahrizal Mohamed Fawzi berkata, pihaknya sudah mengadakan perjumpaan dengan mangsa bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai kejadian.

Menurutnya, kejadian berlaku di laluan utama persimpangan Kayu Ara, Hubungan Damansara arah timur Lebuhraya SPRINT, dan bukannya berlaku di lorong motosikal seperti yang dihebahkan dalam media sosial.

“Justeru, pihak kami akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis untuk membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berita berkaitan

Dagu terbelah akibat tali tangsi..?

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 5:49 PM