GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang anggota polis bantuan lebuh raya disyaki menunda dan menjual sebuah kereta Proton Aeroback milik individu lain yang tersadai di hadapan surau di Batu Caves, di sini, digantung tugas serta-merta.

Ketua Jabatan Komunikasi Litrak, Shah Rizal Mohamed Fawzi yang mengesahkan perkara berkenaan berkata, suspek digantung tugas sehingga siasatan selesai.

Beliau berkata, pihaknya akan terus memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis bagi menjalankan siasatan lengkap berhubung kes berkenaan.

"Pihak Lebuhraya Sprint tidak akan bertolak ansur atau melindungi mana-mana individu sekiranya didapati menyalahi undang-undang.

"Isu ini juga tidak akan menjejaskan operasi Pasukan Polis Bantuan Lebuhraya Sprint terutamanya perkhidmatan bantuan kepada pengguna," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, akhbar melaporkan seorang polis bantuan lebuh raya ditahan polis bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Suspek berusia 29 tahun itu ditahan di sebuah syarikat penyuraian trafik di Petaling Jaya, pada 15 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 1:30 PM