ANTARA barangan yang dirampas polis susulan penahanan dua penjenayah yang melarikan diri daripada SJR dan merempuh seorang anggota. FOTO Ihsan Polis.
ANTARA barangan yang dirampas polis susulan penahanan dua penjenayah yang melarikan diri daripada SJR dan merempuh seorang anggota. FOTO Ihsan Polis.
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Anggota polis cedera dirempuh penjenayah yang melarikan diri daripada sekatan jalan raya (SJR) di Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur (Sprint), dekat susur keluar Damansara Jaya di sini, semalam.

Dalam kejadian 9.06 malam, koperal polis berusia 35 tahun terbabit patah tangan kanan dan menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid berkata, sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki dua lelaki secara tiba-tiba memecut laju ketika melalui SJR.

"Kejadian itu mengakibatkan seorang anggota lelaki bertugas dilanggar kereta suspek sehingga mengalami patah tangan kanan.

"Sebuah unit peronda polis (MPV) kemudian mengejar kenderaan suspek sejauh dua kilometer sebelum kenderaan itu terbabas sendiri di Seksyen 17/50 Petaling Jaya.

"Pasukan berjaya menahan dua suspek lelaki masing-masing berusia 35 dan 45 tahun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemeriksaan pada kenderaan suspek menemui mata wang asing bernilai RM9,839.85 dan pelbagai peralatan seperti gerudi, tukul, gunting, pemutar skru serta gergaji disyaki digunakan untuk pecah rumah.

Katanya, semakan mendapati kedua-dua suspek tiada rekod jenayah lampau.

Mohamad Fakhrudin berkata, suspek ditahan reman selama enam hari bermula hari ini sehingga 8 Januari ini untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 28(i) Akta Kesalahan Kecil 1955.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2024 @ 9:05 PM