Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Sebanyak RM3.06 juta diserahkan kepada 10 daripada 83 Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang layak menerimanya, hari ini.

Ia adalah sebahagian daripada dana Kempen Tabung Pahlawan 2020 berjumlah RM10.2 juta.

Majlis Penyerahan Dana Kempen Tabung Pahlawan 2020 itu disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz.

Muez berkata, pihaknya akan menjalankan pemantauan bagi memastikan sumbangan disampaikan dengan sebaiknya untuk tujuan kebajikan dan kesejahteraan veteran yang memerlukan di seluruh negara.

"Kementerian Pertahanan amat prihatin atas jasa veteran tentera dan akan sentiasa berusaha memenuhi keperluan mereka menerusi Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).

"Kami akan terus kerjasama dengan agensi kerajaan dan swasta bagi mencipta kerjaya kedua kepada veteran ATM supaya kehidupan mereka dapat dipertingkatkan lagi," katanya.

Hadir sama, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Mohd Affendi Buang.

MUEZ (kiri) dan Affendi menyerahkan replika cek kepada penerima, hari ini. FOTO AZIAH AZMEE
MUEZ (kiri) dan Affendi menyerahkan replika cek kepada penerima, hari ini. FOTO AZIAH AZMEE

Sementara itu, wakil Persatuan Veteran Tentera Udara Diraja Malaysia (PV TUDM), Mejar Chong Ah Wat berkata, pihaknya akan mengagihkan sumbangan diterima kepada 10 cawangan PV TUDM di seluruh Semenanjung Malaysia.

"Menerusi 10 cawangan terbabit, kami akan menyalurkan kepada veteran yang kini kehilangan punca pendapatan serta asnaf.

"Kami amat menggalakkan kepada veteran TUDM untuk mendaftar dengan PV TUDM bagi menjamin kesejahteraan mereka serta ahli keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 8:52 PM