LAPORAN portal Harian Metro
LAPORAN portal Harian Metro
Samadi Ahmad


Sepang: Polis masih belum mengenal pasti identiti mangsa yang rentung dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) bersebelahan dengan Jalan Airport City 2, Airport City Business Centre berhampiran Stesen LRT Kota Warisan, di sini, pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya mendapati kenderaan berkenaan dimiliki seorang lelaki, melalui pemeriksaan terhadap casis kenderaan Toyota Harrier.

Mengulas mengenai kejadian itu, beliau berkata, polis menerima panggilan kecemasan melalui dibuat seorang lelaki mendakwa terdengar bunyi letupan pada 3.30 pagi tadi di kawasan semak di lokasi berkenaan.

Katanya, saksi yang tinggal di asrama berhampiran tempat kejadian itu memaklumkan melihat api marak dari dalam hutan yang terletak kira-kira 20 meter dari asrama itu.

"Kebakaran kereta dipadamkan pasukan Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) dan mendapati mayat rentung sepenuhnya di bahagian penumpang hadapan," katanya kepada pemberita.

Wan Kamarul berkata, polis menemui kesan kebakaran dalam lingkungan 10 meter dari lokasi kereta berkenaan ditemui

Katanya, mayat mangsa yang rentung dikeluarkan pasukan Bomba dan Penyelamat dalam keadaan melekat pada komponen kereta berkenaan.

"Hasil pemeriksaan forensik dilakukan pakar Hospital Serdang, mendapati keadaan mayat rentung 90 peratus serta memerlukan bedah siasat secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca kematian.

"Pemeriksaan forensik dari pasukan Ibu Pejabat Polis Kontingen (IPK) Selangor juga masih dijalankan bersama doktor patologi. Hospital Serdang maklumkan bedah siasat akan dijalankan esok pada 9 pagi," katanya.

Berita berkaitan

Pemandu SUV rentung

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 6:07 PM