GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
SamadiAhmad


Sepang: Polis menahan suspek ketiga kes bunuh mangsa yang ditemui rentung dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) bersebelahan dengan Jalan Airport City 2, Airport City Business Centre berhampiran Stesen LRT Salak Tinggi Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, suspek yang juga rakan mangsa dan berasal dari Batu Caves, ditahan semalam.

"Suspek berumur 24 tahun dan bekerja sebagai buruh binaan. Dia ditahan di Batu Caves dan direman hingga 6 November ini bagi membantu siasatan.

"Setakat ini, tiga suspek ditahan dan kes diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya hari ini.

Menurut beliau, pihaknya masih menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA)

keluarga mangsa bagi mendapatkan pengesahan identitinya memandangkan mayat terbabit rentung sehingga 90 peratus.

Semalam, Harian Metro melaporkan, dua lelaki berumur 37 dan 42 tahun yang juga rakan mangsa ditahan Khamis lalu, bagi membantu siasatan.

Suspek pertama ditahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan suspek kedua ditahan pada hari sama di tempat berasingan.

Hasil bedah siasat mendapati, mangsa mengalami kecederaan akibat tetakan di badan dan mati akibat diserang dan bukannya akibat kebakaran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 8:14 PM