MAHB mengucapkan takziah atas pemergian Muhamad Syafiq. FOTO ihsah MAHB
MAHB mengucapkan takziah atas pemergian Muhamad Syafiq. FOTO ihsah MAHB
Samadi Ahmad


Sepang: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengucapkan takziah atas pemergian kakitangannya, Allahyarham Muhamad Syafiq Saharuddin, 26, yang ditemukan lemas di tali air berhampiran Desa Salak Pekerti, di sini, semalam.

Ucapan dikongsikan menerusi sebuah poster dikeluarkan MAHB.

Allahyarham Muhamad Syafiq adalah pegawai operasi di bahagian pengurusan pelanggan di syarikat penerbangan itu.

Katanya, pemergian Allahyarham satu kehilangan besar kepada MAHB kerana beliau kakitangan yang berdedikasi dan ikhlas menjalankan tugas.

"Allahyarham yang baru mendirikan rumah tangga minggu lalu sangat disenangi rakan sekerja."

Semalam Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof dalam satu kenyataan berkata, mayat ditemukan seorang penduduk kira-kira 11 pagi dalam keadaan terapung di tali air di Taman SP 18, Desa Salak Pekerti, di sini.

Menurutnya, sebelum ini ahli keluarga mangsa sudah melaporkan kehilangannya pada Ahad lalu di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi.

"Pemeriksaan tubuh mendapati tiada unsur jenayah dan dipercayai mati lemas.

"Menurut adiknya, mangsa kali terakhir dilihat meredah banjir untuk mengambil barang rumah di Kampung Baru Lanjut di sini, yang pada ketika itu air berada pada paras dada.

"Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk ujian Covid-19 dan bedah siasat," katanya.

Berita berkaitan

Pengantin baru ditemukan lemas di Sungai Labu

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 10:57 AM