GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuhainy Zulkiffli


Balik Pulau: Seorang tekong bot lemas manakala dua awak-awaknya selamat selepas bot dinaiki karam ketika keluar ke laut untuk menangkap ikan di kedudukan 5.3 batu nautika barat daya Muka Head, Teluk Bahang di sini, hari ini.

Manakala seorang lagi awak-awak warga Indonesia yang menaiki bot sama dilaporkan masih hilang.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian jam 2.25 pagi tadi.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sudah digerakkan bagi mengesan nelayan yang hilang.

"Dua yang selamat serta seorang yang meninggal dunia, semuanya warga tempatan, ditemui bot nelayan yang berada berhampiran.

"Seorang lagi awak-awak warga Indonesia masih belum ditemui dan SAR masih berjalan," katanya.

Menurut Hamizan, SAR dijalankan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan nelayan berhampiran.

Katanya, mayat dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk proses lanjut.

"Orang awam diminta melaporkan sebarang penemuan di laut dengan menghubungi talian 04-2626146 atau MERS 999," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2020 @ 3:58 PM