TUAN Azhar (dua kiri) disambut keluarga selepas dibawa pulang oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di jeti APMM Tok Bali, Pasir Puteh. FOTO Nor Amalina Alias
TUAN Azhar (dua kiri) disambut keluarga selepas dibawa pulang oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di jeti APMM Tok Bali, Pasir Puteh. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias

Pasir Puteh: "Saya tak sangka kami masih hidup selepas 15 jam terapung di laut, sebelum tersadai di pesisir pantai dan diselamatkan penduduk kampung," kata tekong Tuan Azhar Tengku Long @ Mansor, 46, apabila bot dinaikinya bersama empat awak-awak karam berhampiran perairan Pulau Perhentian, semalam.

Tuan Azhar berkata, sebelum kejadian mereka sedang menangkap ikan dan menarik pukat di kawasan itu kira-kira tujuh batu nautika pada 1 tengah hari.

Katanya, cuaca tiba-tiba berubah dan ombak menjadi besar setinggi empat hingga lima meter dan menghempas bot laut dalam jenis CO yang dinaiki mereka.

"Air mulai masuk ke dalam bot dan seperti dijangka keadaan itu menyebabkan bot kami karam dan kami semua terjatuh ke dalam laut.

"Kami sempat memakai jaket keselamatan dan cuba berenang ke darat, tetapi laut terlalu luas dan kami biarkan diri dihanyutkan hingga tersadai di pesisir pantai kira-kira 4 pagi tadi," katanya ketika ditemui selepas dibawa pulang Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di jeti APMM Tok Bali, di sini, hari ini.

Tuan Azhar tiba bersama tiga awak-awaknya, Norizan Yusof, 45; Mohd Azri Mohd Rasdi, 28, dan anaknya, Tuan Azrizal, 19, pada 1.30 tengah hari tadi dengan dinanti ahli keluarga masing-masing.

Norizan kemudian dibawa menaiki ambulans bagi mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Besut selepas mengadu sukar bernafas manakala yang lain pulang ke rumah masing-masing.

Bagaimanapun, seorang lagi awak-awak iaitu Asaari Leh, 43, masih belum ditemui dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) giat dijalankan di lokasi kejadian.

Katanya, mereka turun ke laut pada 3 petang Rabu lalu dan ia kali pertama dia mengalami kejadian menakutkan itu selepas 26 tahun bergelar tekong.

Sementara itu, ibu kepada Asaari, Hurani Awang, 73, berkata dia berharap anak kedua daripada empat beradik terbabit ditemui selamat kerana difahamkan kesemua mangsa memakai jaket keselamatan sebelum terjatuh ke dalam laut.

"Kali terakhir jumpa anak (Asaari) sebelum dia turun ke laut, saya sempat sediakan nasi untuknya dan dia juga sempat bersalaman dengan saya.

"Dia sering turun ke laut sejak usia 15 tahun dan biasa ke pulau-pulau sebagai punca pendapatan," katanya.

Dalam kejadian 1 tengah hari semalam, bot dinaiki lima nelayan itu karam di perairan Pulau Perhentian, Besut selepas mengalami kebocoran selain keadaan cuaca buruk.

Berita berkaitan

KDN arah SAR dipertingkatkan

Bot karam, empat nelayan selamat, seorang hilang

Bot karam, lima nelayan tempatan hilang

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2021 @ 4:34 PM