TEKONG warga Thailand yang parah ditetak dan ditikam awak-awak dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan.
TEKONG warga Thailand yang parah ditetak dan ditikam awak-awak dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan.
Rosli Ilham


Dungun: Tekong bot terpaksa menahan kesakitan lebih lapan jam sebelum tiba di hospital untuk mendapatkan rawatan selepas ditikam dan ditetak seorang awak-awaknya yang mengamuk dalam kejadian di perairan berhampiran Pulau Tenggol di sini, kelmarin.

Mangsa berasal dari Thailand yang belum dikenal pasti identitinya berusia 48 tahun itu dibawa belayar dengan bot ke Jeti Kuantan sebelum dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) kira-kira jam 10.30 malam bagi mendapatkan rawatan.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, tekong itu berada bersama empat awak-awaknya berusia antara 24 hingga 37 tahun yang juga warga Thailand menangkap ikan menggunakan bot pukat tunda Kelas C milik lelaki tempatan.

Awak-awak berusia 24 tahun dikatakan bergaduh dengan mangsa sebelum menikam dan menetak tekong bot terbabit menggunakan senjata tajam.

Tiga lagi awak-awak cuba meleraikan pergaduhan mereka itu, tetapi gagal berikutan suspek bertindak agresif serta turut merosakkan beberapa barangan di dalam bot terbabit.

Suspek kemudiannya bertindak terjun ke laut menggunakan pelampung sebelum berenang ke arah Pulau Tenggol melarikan diri.

Semua nelayan terbabit dikatakan bekerja dengan pemilik bot warga tempatan yang berpengkalan di Kuantan.

Difahamkan, sebuah bot lain yang menyedari kejadian itu menghubungi seorang nelayan di daratan dan meminta melaporkannya kepada polis.

Bagaimanapun, tiga awak-awak terbabit yang mengambil alih tugas mengemudi dengan memecut bot untuk pulang ke Kuantan mendapatkan bantuan berikutan keadaan mangsa parah.

Berikutan itu, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun bergegas ke Kuantan bagi mendapatkan maklumat mengenai kejadian itu.

Polis juga terpaksa mendapatkan bantuan bot dan terpaksa menggunakan bot Polis Marin kerana bot nelayan itu tidak dapat berlabuh di jeti berikutan keadaan air cetek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, gerakan mengesan suspek giat dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2017 @ 8:48 AM