TEKONG bot warga Thailand yang parah. FOTO Ihsan PDRM
TEKONG bot warga Thailand yang parah. FOTO Ihsan PDRM
Rosli Ilham


TEKONG bot warga Thailand parah selepas ditikam di perut dan luka di badan oleh seorang awak-awaknya yang mengamuk ketika menangkap ikan di kawasan perairan berdekatan dengan Pulau Tenggol, Dungun dalam kejadian kira-kira 3 petang, semalam.

Mangsa yang berusia 48 tahun itu kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan manakala awak-awak berkenaan bertindak terjun ke laut menggunakan pelampung dan berenang ke arah pulau terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, bot pukat tunda Kelas C berkenaan milik lelaki tempatan dan ketika kejadian, terdapat empat awak-awak serta mangsa yang kesemuanya berasal dari Thailand.

Menurutnya, suspek berusia 24 tahun juga dikatakan bertindak merosakkan beberapa peralatan di dalam bot berkenaan selain mencederakan tekong terbabit.

Katanya, berdasarkan maklumat awal mendapati suspek menggunakan sebilah pisau untuk mencederakan tekong bot berkenaan sebelum melarikan diri.

"Tiga lagi awak-awak berusia 29 hingga 37 tahun yang turut berada di dalam bot berkenaan kini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun untuk membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

Difahamkan, suspek dikatakan bergaduh dengan mangsa sebelum bertindak menikamnya serta menetak tekong bot itu, manakala tiga awak-awak yang berada di atas bos cuba meleraikan pergaduhan itu tetapi suspek bertindak agresif.

Mereka itu dikatakan bekerja sebagai nelayan dengan seorang pemilik bot yang berpengkalan di Kuantan.

Sebuah bot nelayan lain berada berhampiran yang menyedari keadaan itu bertindak menghubungi seorang nelayan di Dungun untuk meminta melaporkan kejadian itu kepada polis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 5:00 PM