TEKONG bot warga tempatan (depan) bersama empat awak-awak warga asing disoal siasat APMM kerana menggunakan pasport dan permit kerja palsu. FOTO Rosli Ilham.
TEKONG bot warga tempatan (depan) bersama empat awak-awak warga asing disoal siasat APMM kerana menggunakan pasport dan permit kerja palsu. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


SEBUAH bot nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kemaman selepas empat awak-awaknya didapati memiliki pasport dan permit kerja dipercayai palsu.

Empat awak-awak terbabit terdiri daripada dua warga Thailand dan dua warga Kemboja ditahan untuk siasatan lanjut.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, sebelum ini sepasukan anggotanya sedang melakukan rondaan di sekitar perairan Kemaman pada 8.45 pagi semalam.

Beliau berkata, sebaik tiba di kawasan 36 batu nautika dari Tanjung Mat Amin, pihaknya menahan bot nelayan tempatan terbabit untuk membuat pemeriksaan biasa.

“Ketika melakukan pemeriksaan, semua nelayan termasuk tekong berusia 29 dan 52 tahun itu mengemukakan pasport dan permit kerja mereka.

“Tekong bot terbabit adalah nelayan tempatan dan mempunyai dokumen pengenalan diri sah, sementara pasport empat awak-awaknya itu meragukan dan mereka dibawa ke Jeti APMM Kemaman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, ketika pemeriksaan, bot nelayan didaftarkan di Pahang itu mempunyai 400 kilogram hasil tangkapan pelbagai jenis ikan.

Menurutnya, tangkapan itu adalah yang pertama membabitkan kes pasport dan permit kerja meragukan pada tahun ini.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959 dan Akta Pasport 1966.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 5:29 PM