KEADAAN kedai makan yang kotor ketika serbuan kakitangan JKNK. FOTO Ihsan JKNK
KEADAAN kedai makan yang kotor ketika serbuan kakitangan JKNK. FOTO Ihsan JKNK
Siti Rohana Idris

Emel

Kota Bharu: Tiga premis kedai makan diarahkan tutup empat belas hari bermula hari ini berikutan keadaan kedai yang kotor dan menjijikkan.

Penutupan premis di sekitar Kota Bharu itu dilakukan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 selepas didapati tidak mencapai standard kebersihan yang ditetapkan.

Pengarah Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata, dalam Operasi Bersepadu Premis Bersih yang dijalankan sepasukan kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) itu, sebanyak 56 premis makanan diperiksa.

Beliau berkata, sebanyak 125 notis kompaun dengan nilai RM 21,900 dikeluarkan kepada pemilik premis dan pengendali makanan atas pelbagai kesalahan yang melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

"Lapan notis kompaun dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Peraturan 11 iaitu tidak mematuhi kehendak yang berhubungan dengan tugas am tuan punya, pemunya atau penghuni premis makanan.

"Sebanyak 97 kompaun dikeluarkan bagi kesalahan mengikut Peraturan 32 iaitu berkaitan dengan pakaian pengendali makanan manakala 18 kompaun untuk kesalahan Peraturan 33 yang berhubungan dengan kebersihan pengendali makanan.

"Selebihnya masing-masing satu notis dikeluarkan mengikut Peraturan 30 kerana tidak mematuhi kehendak berhubung dengan latihan pengendali makanan serta Peraturan 31 berkaitan tidak membuat pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan vaksin," katanya dalam satu kenyataan media.

Zaini berkata, pemilik premis makanan yang didapati tidak mematuhi elemen penting kebersihan akan diberi bimbingan untuk mengambil tindakan pembetulan bagi meningkatkan tahap kebersihan premis mereka.

Beliau juga menasihatkan orang ramai khususnya yang mengunjungi premis makanan di Kota Bharu dan seluruh Kelantan supaya memilih premis makanan yang bersih.

"Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau pejabat kesihatan terdekat atau melalui laman sesawang http://jknkelantan.moh.gov.my/v3/ atau facebook JKNK https://www.facebook.com/HealthofKelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2020 @ 9:38 PM