Dr Zaini Hussin
Dr Zaini Hussin
BERNAMA

Kota Bharu: Tujuh premis makanan di Gua Musang, dekat sini diarahkan tutup 14 hari berikutan keadaan kedai yang tidak mencapai standard kebersihan yang ditetapkan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, kesalahan itu dikesan menerusi Operasi Bersepadu Premis Bersih Siri 01/2023 yang dilaksanakan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNK pada Selasa dan semalam membabitkan 70 kakitangan.

"Sebanyak 71 premis makanan diperiksa terutama yang terletak di sekitar Bandar Baru Gua Musang, Bandar Lama Gua Musang, Chiku, Paloh, Taman Tropika dan Dataran Kesedar yang juga tempat tumpuan orang ramai.

"Susulan itu, 98 notis kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis dan pengendali makanan atas pelbagai kesalahan melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Zaini berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti adalah tidak mempamerkan perakuan pendaftaran, kebersihan diri pengendali makanan, pengambilan vaksin pengendali makanan dan sebagainya.

Katanya, pemilik premis makanan yang didapati tidak mematuhi elemen penting kebersihan akan diberi bimbingan untuk tindakan pembetulan bagi meningkatkan tahap kebersihan premis mereka.

"JKNK ingin menegaskan adalah menjadi tanggungjawab pemilik premis dan pengendali makanan untuk memastikan premis mereka bersih sepanjang masa agar keselamatan makanan terjamin.

"Kita juga menasihatkan orang ramai khususnya yang mengunjungi premis makanan di seluruh negeri ini supaya memilih premis makanan yang bersih bagi mengelakkan perkara tidak diingini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 5:08 PM