OPERASI Penguatkuasaan Premis Bersih dan Peraturan - Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM). FOTO ihsan JKNS
OPERASI Penguatkuasaan Premis Bersih dan Peraturan - Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM). FOTO ihsan JKNS
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengarahkan 27 premis makanan ditutup manakala 224 notis kesalahan dikeluarkan pada Operasi Penguatkuasaan Premis Bersih dan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, Khamis lalu.

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Sha'ari Ngadiman berkata, tindakan penguatkuasaan ke atas premis itu dibuat di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 di Bandar Baru Selayang, Batu Caves dan kawasan sekitarnya.

Menurutnya, pada operasi membabitkan 165 premis makanan, 319 notis kesalahan dikeluarkan dengan kompaun RM185,650.

"Bagi penguatkuasaan premis bersih, 64 notis bagi kesalahan tidak mematuhi kehendak berkaitan tugas am tuan punya, pemunya atau penghuni premis makanan dikeluarkan.

"Sebanyak 58 notis berkaitan kepatuhan dalam pelupusan sampah turut dikeluarkan," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pelbagai notis lain turut dikeluarkan seperti pengendali makanan tidak memakai penutup kepala, apron dan kasut selain kebersihan diri pengendali makanan.

Dr Sha'ari berkata, sekiranya Orang Yang Dikenakan Notis atau ditawarkan kompaun berkenaan tidak menjelaskan bayaran dalam tempoh ditetapkan, mereka akan didakwa di mahkamah.

"Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun bagi kesemua kesalahan.

"JKNS berharap, operasi ini dapat meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan kesihatan serta mengenai kesalahan merokok di semua kawasan larangan merokok, khususnya di premis makanan dan tumpuan awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2022 @ 2:29 PM