Mat Ghahit (tengah) bersama anggota Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu menjalankan pemeriksaan kebersihan terhadap sebuah kilang kicap di Wakaf Stan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mat Ghahit (tengah) bersama anggota Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu menjalankan pemeriksaan kebersihan terhadap sebuah kilang kicap di Wakaf Stan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Nor Hidayatidayu Razali


KAWASAN kilang kotor, pekerja tidak memakai kasut dan tidak mempunyai kad pengendali makanan antara kesalahan dua kilang kicap yang dikenakan kompaun kebersihan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu, hari ini.

Dua kilang berkenaan masing-masing di Wakaf Stan dan Pengkalan Chepa menerima notis kompaun kerana tidak mengikut peraturan kebersihan.

Notis berkenaan dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu yang membuat operasi bersepadu pemeriksaan kebersihan bersama Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) di kilang dan premis makanan.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Daerah Kota Bharu, Mat Ghahit Mohamed berkata, dua premis itu dikenakan tindakan kompaun kerana didapati tidak mengikut peraturan kebersihan iaitu mengambil pekerja yang tidak mempunyai kad pengendali makanan dan tidak memakai sarung tangan.

"Notis dikeluarkan kepada pemilik mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang boleh dikenakan kompaun maksimum sehingga RM2,500.

"Jika mereka mengabaikan notis berkenaan akan dikenakan tindakan mahkamah dan mereka boleh dikenakan denda hingga RM10,000," katanya ketika ditemui selepas operasi di Wakaf Stan, Kubang Kerian, Kota Bharu, hari ini.

Menurutnya, pihaknya akan membuat siasatan lanjut sama ada kilang berkenaan mempunyai kesalahan kebersihan atau tidak sebelum ini.

Katanya, jika kilang terbabit ada kesalahan sebelum ini, tindakan menutup kilang untuk pembersihan akan diambil.

"Pemilik premis atau pengendali makanan perlu mengikut peraturan kebersihan yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadap mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 3:31 PM