FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Kerajaan disaran menyediakan laluan selamat dan denda pada kadar munasabah susulan larangan dikenakan untuk individu menunggang basikal di lebuh raya.

Presiden Kelab Berbasikal Bangi, Faisal Riza Abdul Rahim berkata, laluan selamat perlu dikenal pasti dan dimaklumkan supaya tidak timbul salah faham mengenai larangan berkenaan.

"Kita sedia maklum ramai peminat sukan berbasikal di dalam negara, tetapi masalahnya kebanyakan kawasan tidak menyediakan laluan khusus yang selamat.

"Jadi, ada baiknya kerajaan mengenal pasti secara khusus laluan atau lebuh raya sesuai untuk digunakan bagi penunggang basikal terutama mereka aktif berkayuh pada jarak jauh.

"Memang ada kes kemalangan membabitkan penunggang basikal sebelum ini, tetapi peratusannya rendah berbanding kenderaan lain," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mengulas mengenai kadar denda RM1,000, Faisal berkata, jumlah dikenakan terlalu tinggi dan perlu dikaji semula.

"Bagi saya, jumlah itu tidak munasabah, malah denda RM1,000 terlalu tinggi sedangkan jumlah kompaun untuk kesalahan membabitkan kenderaan lain adalah kurang daripada itu.

"Jadi, saya minta pertimbangan kerajaan untuk memperhalusi semula kadar denda dikenakan itu," katanya.

Sementara itu, ahli kelab berbasikal, Rohazmi Ramli, 37, bersetuju dengan larangan berbasikal di lebuh raya kerana yakin ia langkah terbaik yang perlu diambil untuk keselamatan penunggang dan pengguna jalan raya lain.

Namun, Rohazmi mencadangkan larangan itu diperhalusi supaya masyarakat lebih jelas mengenai lokasi khusus yang dibenarkan dan dilarang untuk berbasikal.

"Setahu saya, larangan itu sudah lama dilaksanakan, tetapi mungkin tiada kejadian serius berlaku, jadi tidak timbul isu sebelum ini.

"Jika larangan itu di lebuh raya dan bukan laluan biasa, perlu dimaklumkan lokasi boleh dan tidak dibolehkan supaya orang tidak keliru dan akhirnya mengecam pelaksanaannya.

"Satu garis panduan perlu ditetapkan untuk peminat aktiviti berbasikal selain kerjasama daripada semua pihak termasuk pengguna kenderaan lain apabila laluan khusus ditetapkan kelak," katanya.

Berhubung kadar denda dikenakan, Rohazmi tidak mempertikaikan keputusan hukuman bagi penunggang yang ingkar dengan arahan, tetapi berharap denda dikenakan pada kadar munasabah.

"Saya tidak menyalahkan kerajaan atau membantah hukuman denda dikenakan itu, tetapi sebelum ini tidak banyak kes kemalangan membabitkan penunggang basikal dan ia hanya berlaku hanya sejak kebelakangan ini saja.

"Lagipun, bukan semua penunggang yang melakukan kesalahan, tetapi cuma segelintir iaitu penunggang baru yang kurang mahir ketika menunggang di jalan dan lebuh raya.

"Meletakkan denda tinggi seolah-olah menunjukkan mahu melepaskan geram dengan semua penunggang basikal. Disebabkan itu, penunggang basikal lain dan warganet tidak bersetuju hingga membandingkan hukuman itu dengan kesalahan lain yang lebih berat," katanya yang aktif dalam sukan berbasikal sejak sembilan tahun lalu.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi status dimuat naik di Facebook (Fb) memaklumkan individu yang menunggang basikal di lebuh raya boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 kerana ingkar arahan sekatan serta larangan menggunakan kenderaan di atas jalan tertentu.

Tindakan itu boleh diambil mengikut Seksyen 70(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 4:46 PM