GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Aktiviti berbasikal hanya dilarang di lebuh raya, namun dibenarkan di Jalan Persekutuan, Jalan Negeri, Jalan Bandaran dan lain-lain jalan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM, Datuk Azisman Alias berkata, mana-mana individu yang gagal mematuhi papan tanda lalu lintas yang melarang berbasikal di lebuh raya boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Isu larangan penggunaan basikal di lebuh raya seluruh negara kini sedang hangat diperkatakan oleh orang ramai terutama dalam kalangan penggemar aktiviti berbasikal.

"Untuk makluman umum, aktiviti itu hanya dilarang di lebuh raya, namun dibenarkan di Jalan Persekutuan, Jalan Negeri, Jalan Bandaran dan lain-lain jalan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menasihatkan penunggang basikal supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan demi menjamin keselamatan diri mereka serta pengguna jalan raya yang lain.

"Individu yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan selaras dengan Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 boleh dikenakan denda tidak kurang RM300 dan tidak lebih RM2,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 8:24 PM