MACIEJUK melalui bahagian tepi jalan sebelum memasuki lopak air dan merempuh peloton. FOTO Agensi
MACIEJUK melalui bahagian tepi jalan sebelum memasuki lopak air dan merempuh peloton. FOTO Agensi
Reuters

Aigle: Pelumba basikal Poland, Filip Maciejuk dari pasukan Bahrain Victorious digantung selama sebulan kerana menjadi punca kepada kemalangan semasa Tour Flanders April lalu, jelas Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Dia yang berusia 23 tahun menunggang sebelah peloton di laluan pejalan kaki sebelum hilang kawalan dan berpusing ke arah penunggang lain, menyebabkan ramai pelumba terjatuh dan terbabas.

"Suruhanjaya Tatatertib mendapati pelumba itu bertindak melanggar peraturan kerana menyebabkan beberapa pelumba terjatuh akibat rempuhan dalam peloton selepas menunggang di luar laluan perlumbaan sebelum melalui lopak di tepi jalan," kata UCI.

Maciejuk akan menjalani tempoh penggantungan selama 30 hari, bermula semalam, tambah badan induk dunia itu.

"UCI komited untuk meneruskan kerjanya bagi menjadikan berbasikal lebuh raya sebagai sukan yang lebih selamat untuk penunggang dan mengulangi bahawa tingkah laku berbahaya tidak mempunyai tempat dalam perlumbaan moden," kata UCI.

"Adalah dilarang sama sekali bagi penunggang menggunakan kaki lima, lorong atau laluan berbasikal yang tidak menjadi sebahagian daripada laluan perlumbaan dan... sebarang pelanggaran peraturan... yang menyebabkan risiko serta-merta kepada orang lain akan dikenakan tindakan tatatertib."

Tadej Pogacar dari Slovenia memenangi perlumbaan berkenaan menambah satu lagi gelaran monume selepas kejayaannya di Liege-Bastogne-Liege pada 2021 dan Giro di Lombardia pada 2021 dan 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2023 @ 7:26 PM