POSTER ingkar larangan berbasikal di lebuh raya. FOTO ihsan PDRM
POSTER ingkar larangan berbasikal di lebuh raya. FOTO ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Individu yang menunggang basikal di lebuh raya boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 kerana ingkar arahan sekatan serta larangan menggunakan kenderaan di atas jalan tertentu.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi status dimuat naik di Facebook memaklumkan tindakan itu boleh diambil mengikut Seksyen 70(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Jika disabitkan kesalahan, hukuman denda boleh dikenakan tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih daripada tiga bulan atau kedua-duanya," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, kesalahan itu ada dinyatakan dengan jelas dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 termasuk mengabaikan tanda kenderaan yang tidak dibenarkan di lebuh raya.

"Di semua plaza tol ada papan tanda yang memaklumkan larangan berkenaan. Dari segi penguatkuasaan, ada peruntukan undang-undang khusus mengenai perkara itu iaitu Seksyen 79(2) akta sama kerana mengabaikan isyarat lalu lintas.

"Apa yang kami pentingkan adalah keselamatan semua pengguna jalan raya termasuk tahap kesihatan mereka juga yang boleh terjejas dengan bau asap kenderaan di tempat yang sibuk," katanya.

Beliau menasihatkan kumpulan berbasikal supaya mengelak menggunakan lebuh raya dan jalan yang sibuk dan tidak sesuai untuk beriadah.

"Langkah yang bijak bagi individu yang menunggang basikal adalah pilih jalan atau laluan di kawasan sesuai bagi mengelakkan insiden tidak diingini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 11:07 PM