FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Singapura: Republik ini akan mewajibkan ujian teori bagi penunggang e-skuter dan basikal elektrik (e-basikal) bermula pertengahan tahun ini.

Tindakan menaiki e-basikal di jalan raya tanpa lulus ujian teori akan menjadi satu kesalahan di bawah pindaan kepada undang-undang trafik yang disarankan.

E-basikal atau basikal menggunakan kuasa (PAB) boleh digunakan di jalan raya, laluan berbasikal dan laluan yang dikongsi dengan pejalan kaki seperti penyambung taman.

Namun, ia dilarang digunakan di laluan pejalan kaki.

Pindaan kepada Akta Trafik Jalan Raya dibentangkan semalam menjadikannya sejajar dengan Akta Mobiliti Aktif, yang dipinda tahun lalu bagi memerlukan pengguna PAB untuk lulus ujian teori sebelum mereka boleh menunggang kenderaan mereka di laluan basikal atau laluan yang dikongsi sama.

Penunggang PAB hanya perlu lulus satu ujian teori dalam talian di bawah dua akta itu, dan ditadbir oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), dengan perubahan yang disarankan itu.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) berkata ujian itu akan merangkumi modul mengenai keselamatan di laluan serta di jalan raya untuk memastikan penunggang mengetahui peraturan mobiliti aktif, kod tingkah laku umum, dan tingkah laku menunggang yang selamat.

Ujian wajib untuk penunggang e-skuter dan PAB kali pertama diperkenalkan oleh Panel Penasihat Mobiliti Aktif pada September 2019, susulan beberapa kes kemalangan dan kematian seorang penunggang basikal selepas bertembung dengan pengguna e-skuter.

Pindaan yang diusulkan turut membolehkan denda dikenakan ke atas syarikat dan individu yang menggajikan, atau secara sengaja atau tidak sengaja membenarkan, seseorang yang tidak lulus ujian teori untuk menaiki PAB di jalan raya.

Sebagai contoh, syarikat penghantaran makanan yang tidak memastikan pekerjanya lulus ujian teori namun membiarkan mereka menaiki PAB akan dianggap melakukan kesalahan.

Bagi dua kesalahan baru yang telah diperkenalkan, pesalah kali pertama boleh dikenakan denda sehingga SG$2,000 (kira-kira RM6,143), dipenjara hingga enam bulan, atau kedua-duanya.

Pesalah berulang kali boleh didenda sehingga SG$5,000 (kira-kira RM15,359), dipenjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 7:19 PM