Hafidzul Hilmi Mohd Noor


RAKYAT Malaysia dari luar negara yang ingin pulang perlu mendaftar butiran peribadi di laman sesawang akan diwujudkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi memudahkan proses pendaftaran, mereka yang ingin pulang ke tanah air digalakkan memberi maklumat kepada pihak Nadma berkenaan tarikh, masa ketibaan dan juga pilihan stesen kuarantin sama ada hotel atau Institut Latihan Awam (ILA).

"Pihak Nadma akan membangunkan portal maklumat proses dan Stesen Kuarantin dalam masa terdekat bagi proses pendaftaran berkenaan," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meluluskan individu dikuarantin di stesen kuarantin untuk memesan makanan dari luar.

"Dahulu kita tidak benarkan kerana KKM bimbang jika makanan luar dibawa masuk akan menyebabkan penyakit lain seperti keracunan makanan dan sebagainya.

"Mesyuarat hari ini membenarkan individu di stesen kuarantin memesan makanan dari luar namun perlu menandatangani surat aku janji dan bertanggungjawab jika timbul sebarang masalah seperti keracunan makanan dan sebagainya," katanya.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2020 @ 3:25 PM