Redzuan Muharam


Kuala Lumpur : Kerajaan bersetuju membenarkan kemasukan penuntut dan pelajar luar negara kecuali dari United Kingdom (UK) bagi Institusi Pendidikan Swasta (IPS) kategori pusat berkuatkuasa 1 Januari depan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat menerusi sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), semalam.

"Ia merangkumi pusat bahasa, pusat kemahiran, pusat latihan, pusat tuisyen dan pusat perkembangan minda berdaftar dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

"Kemasukan (penuntut) akan diuruskan oleh Education Global Malaysia Services (EGMS) yang perlu mematuhi prosedur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dari semasa ke semasa," katanya pada sidang media harian, di sini hari ini.

Menurut Ismail Sabri, kebenaran itu hanya tertakluk kepada penuntut dan pelajar sedia ada yang sudah diberi kelulusan untuk mendapatkan visa.

Bagaimanapun, katanya penuntut dan pelajar terbabit dikehendaki menjalani ujian saringan Covid-19 tiga hari sebelum datang ke negara ini dan setibanya di pintu masuk negara.

"Setibanya di sini, mereka perlu menjalani kuarantin wajib di pusat kuarantin diwartakan selama tujuh hari.

"Kos ujian calitan (swab test) Covid-19 dan kuarantin perlu ditanggung sendiri oleh pelajar berkenaan," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 6:43 PM