Shamran Sarahan dan Suraya Roslan


ANAK kapal yang menjalani proses 'sign on' (mula kerja) perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sebaik tiba di pintu masuk antarabangsa negara.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati kes import yang menyumbang jumlah tinggi kes harian Covid-19 baru-baru ini membabitkan anak kapal berkenaan.

"Kerajaan hari ini mengambil keputusan untuk memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi proses pertukaran anak kapal (sign on dan sign off) termasuk menjalani ujian saringan Covid-19.

"Sekiranya didapati positif, mereka akan dihantar ke hospital untuk mendapat rawatan dan bagi yang negatif pula mereka akan dikuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin dan perlu menjalani ujian saringan kali kedua pada hari ke-13," katanya dalam sidang media harian di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, jika keputusan didapati negatif anak kapal akan dibenarkan untuk menjalani proses 'sign on' di pelabuhan.

"Bagi proses sign off (tamat kerja) pula, anak kapal perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sejurus tiba di pelabuhan. Sekiranya positif, mereka akan dihantar ke hospital untuk rawatan manakala yang negatif wajib menjalani proses kuarantin 14 hari," katanya.

Menurutnya, sekiranya negatif, mereka akan dibenarkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk pulang ke negara masing-masing.

"Kos kuarantin wajib 14 hari termasuk kos ujian saringan perlu ditanggung sepenuhnya oleh majikan anak kapal," katanya.

Gambar fail, ujian saringan Covid-19 di lapangan. FOTO NSTP.
Gambar fail, ujian saringan Covid-19 di lapangan. FOTO NSTP.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 4:22 PM