Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Tangkapan individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) meningkat kepada 663 individu semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, angka itu menunjukkan bahawa pasukan operasi pematuhan tidak akan berkompromi dengan sebarang kesalahan membabitkan PKPP.

"Antara kesalahan yang dilakukan ialah tidak mengamalkan penjarakan fizikal (239), tidak memakai pelitup muka (178), aktiviti di pusat hiburan (105), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (89) dan anggar syarat di kawasan PKPDB (20).

"Selain itu turut dikesan adalah tangkapan Pendatang Asing Tanpa Izin (16), terbabit dengan aktiviti pelacuran (8), aktiviti perjudian (3), tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan (3), premis beroperasi tanpa lesen (1) danenghalang penjawat awam menjalankan tugas (1),"katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mengulas berhubung Op Benteng pula, Ismail Sabri berkata, semalam 76 Pati ditahan selain tiga bot dan tiga kenderaan darat dirampas.

"Sebanyak 136 sekatan jalan raya Operasi Benteng juga dilakukan diseluruh negara.

"Orang ramai diminta untuk menghubungi hotline National Task Force di talian 011-62511223 untuk terus menyalurkan maklumat berkenaan Pati dan jenayah rentas sempadan,"katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Berhubung kuarantin wajib, beliau berkata, sejak 24 Julai sehingga hari ini, 46,655 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 68 hotel serta 18 premis lain.

"Daripada jumlah itu, 9,473 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 381 dihantar ke hospital untuk rawatan dan 36,801 dibenarkan pulang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2020 @ 5:37 PM