GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Raja Noraina Raja Rahim


SEBANYAK 46 premis daripada 1,745 yang diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dikesan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesalahan itu dikesan ketika pemeriksaan khas pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.

"Hasil pemeriksaan dilakukan, hampir keseluruhan iaitu 1,699 mematuhi SOP ditetapkan.

"Baki 45 premis diberi nasihat dan sebuah premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP.

"Dalam tempoh PKPP ini, kerajaan menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan sosial dan kebersihan diri terutama dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, penguatkuasa KPDNHEP turut membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 720 premis perniagaan termasuk peruncit, pemborong dan pengilang, semalam.

Katanya, secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh.

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melaksanakan 10 operasi sanitasi meliputi 10 Zon di dua negeri iaitu Sabah dan Pahang.

"Operasi sanitasi itu membabitkan enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan 122 anggota Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2020 @ 4:23 PM