GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Operasi Sanitasi Awam masih diteruskan ketika ini dengan 45 operasi sanitasi dijalankan di 11 negeri, semalam.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, operasi itu membabitkan 11 Zon Merah, dua Zon Jingga, sembilan Zon Kuning dan lima Zon Hijau.

"Sebanyak 14 operasi dijalankan di Melaka, diikuti sembilan di Sabah, lima di Sarawak dan Selangor, empat di Negeri Sembilan, dua di Pahang dan Pulau Pinang dan masing-masing satu di Perak, Terengganu, Kedah dan Perlis

"Ops Sanitasi Awam bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah melakukan sebanyak 12,480 operasi sanitasi

merangkumi 137 zon sejak sejak 30 Mac lalu.

"Sebanyak 14,421 premis sudah disanitasi, terdiri daripada 2,897 pusat perniagaan, 1,679 kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), 2,859 tempat awam, 357 pasar raya dan 6,629 bangunan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, operasi pematuhan dijalankan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) semalam mendapati kesemua 27 tapak binaan yang diperiksa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, sejak 24 April hingga semalam, 13,872 pemeriksaan sudah dijalankan membabitkan sejumlah 7,956 tapak binaan di seluruh negara.

Mengulas berhubung kuarantin wajib terhadap pengembara yang kembali atau datang dari luar negara, Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai lalu sehingga semalam, 85,383 individu sudah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemuanya ditempatkan di 77 hotel dan 19 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah, Labuan dan Melaka.

"Daripada jumlah itu, seramai 12,626 individu sedang menjalani proses Kuarantin Wajib manakala 542 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

"Seramai 72,215 individu sudah dibenarkan pulang.

"Mereka didapati pulang dari 36 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Laos, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom (UK), Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Ethiopia, Maldives dan Oman," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan harian terhadap 11 jenis bekalan barangan semalam di 636 premis perniagaan termasuk peruncit (449), pemborong (156) dan pengilang (31).

Katanya, secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.

Beliau berkata, pegawai penguatkuasa KPDNHEP juga melakukan 1,289 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,283 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala enam premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 6:09 PM