ORANG ramai melakukan pendaftaran kod QR sebelum memasuki pusat beli belah. FOTO Aswadi Alias.
ORANG ramai melakukan pendaftaran kod QR sebelum memasuki pusat beli belah. FOTO Aswadi Alias.
Raja Noraina Raja Rahim


SEBANYAK 20 premis diberi amaran dan nasihat kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, premis berkenaan antara 1,284 premis yang diperiksa dalam pemeriksaan khas pematuhan SOP PKPP oleh pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Dalam pemantauan itu, 1,264 premis mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Sebanyak 19 lagi premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP, sementara satu premis diberi amaran oleh pegawai penguat kuasa kerana kesalahan sama," katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Hari Ke-110 dan PKPP Hari Ke-25, hari ini.

Ismail Sabri berkata, penguat kuasa KPDNHEP sudah membuat pemantauan harian terhadap 25 jenis bekalan barangan di 692 premis perniagaan termasuk peruncit (487), pemborong (173) dan pengilang (32).

Beliau berkata, secara keseluruhan bekalan barangan keperluan didapati mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh.

"Kementerian Pertanian dan Industri Makanan turut membuat pemantauan di peringkat pengeluar makanan dan memberi jaminan bekalan barangan keperluan mencukupi," katanya.

Sementara itu, katanya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) memeriksa 20 tapak binaan di seluruh negara, dengan lapan daripadanya tidak beroperasi.

Sehingga semalam, jumlah kumulatif tapak binaan mematuhi SOP adalah 2,750, manakala 495 tidak patuh SOP dan diberi amaran serta 19 diarah tutup.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 1:58 PM