GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


SEBANYAK 15 premis diberi amaran dan nasihat kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 1,722 premis diperiksa melalui pemeriksaan khas pematuhan SOP dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Dalam pemeriksaan itu, 1,707 premis didapati mematuhi SOP ditetapkan manakala 11 premis diberi nasihat dan empat premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP.

"Penguat kuasa KPDNHEP turut membuat pemantauan harian ke atas 25 jenis bekalan barangan di 725 premis perniagaan termasuk peruncit (537), pemborong (157) dan pengilang (31).

"Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media mengenai laporan perkembangan harian pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ke-109 dan hari ke-24 PKPP, hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) juga membuat pemantauan di peringkat pengeluar makanan dan memberi jaminan bekalan barangan keperluan mencukupi.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 3:31 PM