Dr Adham Baba (tengah) bersama Calon Barisan Nasional (BN) PRK DUN Chini, Mohd Sharim Md Zain (tiga kanan) menyerahkan sumbangan peralatan perlindungan peribadi (PPE) kepada Pergawai Perubatan Klinik Kesihatan Bandar Dara Chini Dr Isyafik Qamal (tiga kiri) sumbangan Yayasan MyPrihatin, ketika hadir pada lawatan di Felda Chini. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Dr Adham Baba (tengah) bersama Calon Barisan Nasional (BN) PRK DUN Chini, Mohd Sharim Md Zain (tiga kanan) menyerahkan sumbangan peralatan perlindungan peribadi (PPE) kepada Pergawai Perubatan Klinik Kesihatan Bandar Dara Chini Dr Isyafik Qamal (tiga kiri) sumbangan Yayasan MyPrihatin, ketika hadir pada lawatan di Felda Chini. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
BERNAMA

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan memberi keutamaan untuk melihat semula sistem pendawaian di hospital di seluruh negara bagi mengelak kejadian kebakaran seperti yang berlaku di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, beberapa peruntukan juga sudah diluluskan bagi tujuan berkenaan.

"Kita memberi keutamaan untuk melihat sistem pendawaian di seluruh negara dan kita dah lulus beberapa peruntukan penting untuk kita lihat perkara itu… ada beberapa keutamaan yang kita akan berikan," katanya kepada pemberita selepas melawat Klinik Kesihatan Chini dekat Pekan, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kebakaran yang berlaku di Wad Perubatan Perempuan 1, HSA semalam.

Kejadian pada 3 petang itu bagaimanapun, tidak mengakibatkan sebarang kematian kerana kesemua 24 pesakit yang berada di wad berkenaan berjaya diselamatkan hasil tindakan pantas petugas di hospital itu.

Sebelum ini, HSA pernah terbakar pada Oktober 2016 membabitkan tingkat dua unit rawatan rapi (ICU) selatan mengakibatkan enam pesakit maut.

Sementara itu, Dr Adham turut merafak sembah terima kasih kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar atas perkenan untuk membiayai kos membaik pulih wad HSA yang terbakar itu.

"Kalau mengikut proses KKM mungkin mengambil masa yang lama dan mengikut titah Tuanku, tiga pihak iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kerja Raya, dan KKM akan duduk serta menyiapkan pelan yang terbaik.

"Saya sendiri sudah melawat kawasan itu semalam dan ada sedikit sebanyak yang perlu dibuat. Keseluruhan kompleks itu perlu dilakukan pendawaian semula dan tambah baik ruang penempatan pesakit," katanya.

Sultan Iskandar dalam akaun Facebook rasmi baginda bertitah berkenan untuk membiayai kos membaik pulih wad yang terbakar itu dan akan melantik kontraktor bagi membolehkan kerja pembaikan dimulakan segera.

Baginda turut bertitah segala kos berkenaan akan ditanggung sepenuhnya oleh Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

Berita berkaitan:

  • Tiada kematian disebabkan kebakaran HSA
  • Jawatankuasa siasat kebakaran HSA
  • Sultan Johor tanggung kos baik pulih wad HSA
  • Alat pengesan ada, sistem pemercik tiada
  • Perkhidmatan HSA tidak terjejas
  • Wad HSA terbakar, 24 pesakit selamat [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2020 @ 4:33 PM