SULTAN Ibrahim Iskandar. FOTO Ihsan Royal Press Office
SULTAN Ibrahim Iskandar. FOTO Ihsan Royal Press Office
Mohamed Farid Noh


SULTAN Ibrahim Iskandar berkenan untuk membiayai kos membaik pulih Wad Perubatan Perempuan 1 Hospital Sultanah Aminah (HSA), yang terbakar petang semalam.

Dalam muat naik di akaun Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim bertitah akan melantik kontraktor bagi membolehkan kerja pembaikan dimulakan segera dan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) akan menanggung kos sepenuhnya.

"Saya mahukan Pengarah Jabatan Kerja Raya, Pengarah Kesihatan Johor serta Pengarah Bomba Johor bersama membincangkan segera pelan pembaikan yang akan dilakukan oleh kontraktor.

"Selalunya kos pembaikan jika dilakukan kerajaan akan mengambil sedikit masa kerana terdapat sistem yang perlu dilalui dan saya tidak salahkan kerajaan. Oleh demikian, saya mahukan kerja pembaikan dilakukan segera," titah baginda dalam muat naik berkenaan.

Sultan Johor turut bertitah, baginda sentiasa mengutamakan rakyatnya, dan peranan YSIJ juga amat besar kerana sentiasa terbabit dalam membantu orang ramai dalam pelbagai perkara.

"Tiada sebarang kecederaan dan kematian dilaporkan dalam kebakaran itu," titah baginda.

Wad Perubatan Perempuan 1 HSA terbakar petang semalam, namun ia tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan serius.

Berita berkaitan

Alat pengesan ada, sistem pemercik tiada

Perkhidmatan HSA tidak terjejas

Wad HSA terbakar, 24 pesakit selamat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2020 @ 9:44 AM