KEADAAN kebakaran wad perubatan perempuan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), petang tadi. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN kebakaran wad perubatan perempuan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), petang tadi. FOTO Ihsan Pembaca
Omar Ahmad


PENGURUSAN hospital dicadangkan supaya menubuhkan jawatankuasa bagi memantau sistem pendawaian di hospital masing-masing.

Cadangan itu berikutan kebakaran kali kedua dalam tempoh empat tahun membabitkan Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Bekas Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat HSA Michael Tay Chee Boon berkata, selain memantau, kewujudan jawatankuasa itu dapat mengesan punca awal kebakaran sekali gus dapat mengelak berlakunya tragedi terbabit.

"Saya cadangkan, ahli jawatankuasa ini terdiri daripada pihak hospital, pakar pendawaian dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Jika ditubuhkan, jawatankuasa ini boleh melakukan pemeriksaan setiap tiga bulan dan sebagainya.

"Di HSA ini, bangunannya sudah berusia lebih 100 tahun. Oleh itu, pendawaian perlu diperkemas serta dipertingkatkan," katanya dihubungi.

Menurut beliau, jika pemeriksaan dibuat, jawatankuasa pasti tahu bahagian berisiko yang perlu diberi perhatian dan sebagainya.

Michael turut menjunjung kasih dan berterima kasih kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang bertitah akan menanggung kos keseluruhan pembaikan di wad perubatan perempuan HSA yang terbakar pada Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 6:01 PM