FADILLAH menendang bola sebagai gimik Perasmian Mini Karnival Wanita dan Pemuda PBB N6, Tupong.
FADILLAH menendang bola sebagai gimik Perasmian Mini Karnival Wanita dan Pemuda PBB N6, Tupong.

Petra Jaya (Kuching): Punca kebakaran dan status keselamatan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Johor dijangka diperoleh Selasa ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pakar Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan siasatan terperinci di lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik kementeriannya menerima laporan siasatan, ia akan dikemukakan kepada Kabinet mengenai langkah perlu untuk diambil terhadap hospital berusia 134 tahun itu.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meminta JKR untuk membuat penilaian status bangunan hospital berkenaan sama ada masih selamat untuk digunakan.

“Jika tidak selamat, keputusan mengenainya hanya akan kita buat selepas laporan penuh diterima Selasa ini,” katanya ketika ditemui sempena Karnival Mini Pergerakan Wanita dan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera (PBB) N6 Tupong di Dewan Serbaguna Kampung Pinang Jawa di sini, semalam.

Beliau berkata, kebakaran kedua yang berlaku di dewan bedah HSA, Rabu lalu pula berpunca apabila sistem pendawaian elektrik terkena air ketika operasi pemadaman di wad unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan, Selasa lalu.

Menurutnya, JKR juga akan meneliti sepenuhnya sistem pendawaian di hospital berkenaan bagi memastikan ia terus selamat digunakan atau sebaliknya.

Dalam pada itu, katanya, JKR bersama JBPM dan KKM sudah membentuk satu jawatankuasa untuk menjalankan siasatan tahap keselamatan serta mendokumentasi semua hospital di seluruh negara yang dibina sebelum merdeka.

“Walaupun kemudahan di semua hospital berkenaan sudah dinaik taraf tetapi ia tidak memenuhi ciri-ciri yang dikehendaki JBPM kerana reka bentuk bangunan pada zaman sebelum merdeka tidak sama dengan reka bentuk bangunan dengan ciri-ciri keselamatan yang ditetapkan kini.

“Pakar kita akan mencadangkan kepada KKM langkah terbaik untuk memastikan hospital itu memenuhi standard paling minimum supaya kita dapat menangani sekurang-kurangnya mengelak kematian jika berlaku kebakaran,” katanya.

Selasa lalu, ICU HSA terbakar mengorbankan enam pesakit yang menerima rawatan di unit berkenaan manakala sehari kemudian dewan bedah pula terbakar, namun ia berjaya dipadamkan daripada merebak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2016 @ 5:25 AM