GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nor Farhani Che Ad


PENGANGGUR direman tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan kes amang seksual terhadap anak perempuannya berusia tiga tahun.

Suspek berusia 25 tahun yang ditahan semalam dipercayai melakukan perbuatan itu di rumah mereka di Sungai Layar, Sungai Petani pada 29 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian terbongkar apabila isteri suspek menyedari terdapat beberapa keping gambar kemaluan di dalam telefon bimbit suaminya.

“Pada 1 Mac lalu, anak lelaki pengadu (ibu mangsa) berusia empat tahun memberikan telefon bimbit milik suspek kepadanya.

“Pengadu membuka telefon bimbit terbabit dan ternampak beberapa gambar tidak senonoh berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Adzli berkata, pengadu bertanya perkara itu kepada suspek, namun suaminya tidak mengaku melakukan perbuatan menjijikkan terbabit terhadap anak perempuan mereka.

Menurutnya, ketika kejadian berlaku, mangsa di bawah jagaan suspek berikutan pengadu bekerja dari 7 pagi hingga 3 petang.

Katanya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk pemeriksaan kesihatan.

“Doktor yang menjalankan pemeriksaan mengesahkan hanya terdapat kesan merah di kemaluan mangsa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 5:57 PM