GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Sepasang suami isteri dan anak saudara mereka ditahan kerana disyaki melakukan pemerasan terhadap pekerja kilang sebagai wang perlindungan setiap bulan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pasangan terbabit berusia 35 tahun manakala anak saudara mereka berusia 19 tahun.

Beliau berkata, mereka ditahan sejurus selepas pengadu iaitu lelaki Bangladesh berusia 28 tahun yang juga pekerja sebuah kilang di sini membuat laporan berhubung kejadian itu, malam tadi.

"Berdasarkan laporan dibuat mangsa, ketiga-tiga suspek berkenaan datang ke rumahnya di Taman Ria Jaya, di sini dengan menaiki kereta Proton Waja dan sebuah motosikal jenis Demak merah.

"Sebaik mereka sampai di hadapan asrama pengadu, mereka memanggil mangsa meminta wang perlindungan seperti biasa pada awal bulan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adzli berkata, pengadu kemudian menyerahkan RM50 kepada salah seorang lelaki berkenaan.

Beliau berkata, wang perlindungan itu terpaksa dibayar sejak lebih kurang setahun lalu.

"Malah rakan mangsa yang menyewa rumah asrama lain yang ditanggung kilang tempat mereka bekerja juga membayar bayaran bulanan seperti itu.

"Sekiranya pengadu dan rakan yang lain tidak membayar, mereka akan mengugut dan memarahi pengadu," katanya.

Adzli berkata, hasil siasatan mendapati, kejadian berlaku di hadapan rumah pengadu di Taman Ria Jaya dan pengadu sudah hampir dua tahun menetap di negara ini dan bekerja di kilang berkenaan.

Beliau berkata, pengadu tinggal bersama enam lagi rakan senegaranya yang bekerja di kilang yang sama sejak dua tahun lalu.

"Pengadu memberitahu dia sudah membuat bayaran kepada suspek sejak lebih setahun lalu dan setiap kali bayaran dibuat, dia akan mendapat resit bayaran dari sebuah syarikat.

"Selain itu, pengadu turut menyatakan yang setiap hari seorang pekerja syarikat akan menaiki motosikal membuat rondaan di kawasan itu untuk menjaga keselamatan," katanya.

Menurut Adzli, berikutan laporan dibuat pengadu, sepasukan anggota dari Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang diketuai Superintendan Abd Fatah Abd Rahman menahan ketiga-tiga suspek jam 7.45 malam tadi di rumah mereka di Taman Ria Jaya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas wang tunai RM544, empat keping resit dan sebuah buku dari suspek pertama.

"Hasil soal siasat awal terhadap suspek pertama mendapati, dia menguruskan syarikat sekuriti yang menjalankan perkhidmatan sekuriti di kawasan taman perumahan terbabit sejak tahun 2014.

"Syarikat itu juga ada berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mengenakan bayaran setiap rumah sebanyak RM40 untuk perkhidmatan keselamatan," katanya.

Adzli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan ketiga-tiga mereka direman satu hari sehingga jam 5 petang ini untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, suspek pertama mempunyai rekod mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan tahun lalu dan pernah ditangkap selain menjadi saksi bagi Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

"Bagaimanapun isteri dan anak saudaranya tidak mempunyai rekod," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 4:01 PM