GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Lelaki warga Myanmar ditemukan mati selepas dipercayai bergaduh dengan rakan senegara di bahagian dapur sebuah kilang di Jalan Sungai Tukang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian disedari pada 8.50 malam selepas pekerja kilang itu memberitahu pengurusnya berlaku pergaduhan di bahagian dapur.

Menurutnya, pengurus kilang berusia 32 tahun yang pergi ke dapur menemui pekerjanya Zaw Min Htike, 25, berlumuran darah, manakala rakan mangsa dipercayai suspek turut berada di situ.

Katanya, mangsa memberitahu dia ditikam oleh suspek yang ketika itu sedang duduk di atas kerusi dengan kepalanya diletakkan di atas meja, dipercayai dalam keadaan mabuk.

"Berikutan itu, pengadu bertindak menghubungi ambulans dan polis berhubung kejadian sebelum berjaya menahan suspek berusia 24 tahun untuk membantu siasatan.

"Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), namun disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan," katanya.

Adzli berkata, polis turut merampas sebilah pisau pemotong sayur dipercayai digunakan dalam kejadian itu untuk siasatan.

Menurutnya, suspek direman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 8:19 PM