KEADAAN lelaki yang lemah selepas menikam dirinya di Taman Delima, Sungai Petani. FOTO IHSAN PEMBACA
KEADAAN lelaki yang lemah selepas menikam dirinya di Taman Delima, Sungai Petani. FOTO IHSAN PEMBACA
Nor Farhani Che Ad


AKIBAT tekanan hidup dan tiada pekerjaan, lelaki berusia 32 tahun sanggup menikam dirinya sendiri di Taman Delima, Sungai Petani, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner, Adzli Abu Shah berkata, perbuatan lelaki itu digagalkan polis selepas menerima aduan daripada orang awam berhubung kejadian yang berlaku 1.15 tengah hari ini.

“Polis menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan lelaki terbabit dikatakan cuba membunuh diri sejak semalam.

“Semasa kejadian berlaku, ibu lelaki terbabit turut berada di rumah berkenaan, tetapi tidak mengetahui perbuatan anaknya itu.

“Ketika polis sampai di tempat kejadian, lelaki itu dilihat sudah menikam dirinya sendiri pada tengah perut dengan menggunakan pisau sepanjang lebih kurang 12 sentimeter,” katanya kenyataan, hari ini.

Adzli berkata, tindakan lelaki terbabit dikatakan kerana tekanan hidup disebabkan tidak mempunyai pekerjaan.

“Sebelum ini mangsa pernah membuka kedai telefon bimbit di Pekan Lama, Sungai Petani, tetapi sudah ditutup selepas beroperasi selama sekitar enam bulan,” katanya.

Katanya, mangsa sudah dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim dan sedang dirawat di zon merah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh diri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 8:44 PM