OSMAN Mahmad Zaki, 33, bersama anaknya, Muhammad Iman Suffian Osman, 4, yang menghidap leukimia. FOTO Zuliaty Zulkiffli
OSMAN Mahmad Zaki, 33, bersama anaknya, Muhammad Iman Suffian Osman, 4, yang menghidap leukimia. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


SELEPAS kehilangan isteri akibat kemalangan jalan raya, seorang bapa di Langkawi, dihimpit ujian apabila anak bongsunya yang berusia empat tahun pula disahkan menghidap kanser darah.

Bagaimanapun, Osman Mahmad Zaki, 33, tabah menghadapi ujian Allah walaupun seorang diri terpaksa menguruskan tiga anaknya termasuk, Muhammad Iman Suffian Osman, 4 yang disahkan leukimia sejak September tahun lalu.

Katanya, arwah isterinya, Nur Aza Che Ani meninggal dunia dalam kemalangan di Sungai Mulu, di Langkawi, ketika pulang dari kerja selepas syif malam.

“Isteri meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta dipandunya merempuh pokok akibat dirempuh sebuah kereta yang dipandu warga asing.

“Sejak pemergiannya, saya terpaksa menguruskan tiga anak sendirian yang mana dua daripadanya, Nur Iman Sofia yang berusia sembilan tahun dan Nur Iman Shaza berusia tujuh tahun di mana kedua-duanya masih bersekolah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lubuk Buaya, Temoyong, di Langkawi.

Osman berkata, anaknya disahkan menghidap leukimia selepas mengalami masalah kesihatan dan kerap demam selain keadaannya cepat letih dan lesu.

Katanya, dia kemudian menjalani rawatan di Hospital Langkawi sebelum kesnya dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

“Anak saya kemudian menjalani rawatan kimoterapi sebanyak 15 sesi sehingga menyebabkan rambut dan keningnya gugur.

“Saya terpaksa mengambil cuti bekerja untuk menjaga anak di HPP, manakala dua lagi anak diuruskan dengan bantuan keluarga mentua,” katanya.

Osman berkata, setiap kali menjalani rawatan kimoterapi, anaknya akan muntah dan tidak bermaya hingga selera makannya terganggu.

Katanya, ada kalanya darah putih dan darah merahnya tidak stabil hingga menyebabkan kesihatannya terganggu.

“Saya beri dia minum susu formula khas kalau dia tak selera makan untuk memberi tenaga kepadanya selain buah-buahan segar untuk membantu meningkatkan selera makan.

“Anak saya akan menjalani rawatan semula di HPP pada 5 November depan untuk melihat tahap darah dalam badannya,” katanya.

Osman berkata, Muhammad Iman Suffian kelihatan seperti kanak-kanak lain yang lasak dan aktif namun antibodi badannya sangat lemah.

Katanya, dia mudah dijangkiti demam, selsema, batuk dari orang lain dan perlu dimasukkan ke terus ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Sehubungan itu orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian di Maybank 158211646506 (Osman) atau menghubungi talian 012-4846716.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 10:05 AM