DATUK Osman Sapian, selesai menjalani pembedahan di sebuah hospital di ibu negara tengah hari tadi dan kini berada dalam keadaan stabil. FOTO ihsan KELUARGA
DATUK Osman Sapian, selesai menjalani pembedahan di sebuah hospital di ibu negara tengah hari tadi dan kini berada dalam keadaan stabil. FOTO ihsan KELUARGA
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Bekas Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian selesai menjalani pembedahan di sebuah hospital di ibu negara tengah hari ini dan kini berada dalam keadaan stabil.

Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor Senator Md Nasir Hashim berkata, keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas itu, memaklumkan kejayaan pembedahan mengeluarkan darah beku berikutan serangan angin ahmar yang menyerang pemimpin berkenaan, kelmarin.

"Alhamdulillah, pembedahan ke atas Osman dimaklumkan keluarganya, sudah selesai dengan jayanya. Namun pakar yang merawat Osman memaklumkan beliau berada dalam keadaan amat stabil.

"Pemimpin Bersatu masih belum dibenarkan melawat Osman berikutan beliau perlu berehat untuk pemulihan terlebih dahulu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rabu lalu, media melaporkan Osman yang juga Ahli Jawatankuasa Bersatu Johor itu diserang strok ketika berada di rumahnya, dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Osman dikejarkan ke sebuah hospital swasta di bandar raya ini untuk menerima rawatan.

Anaknya, Nornekman Osman, kemudian memaklumkan bapanya itu akan dipindahkan ke sebuah hospital di ibu negara bagi menjalani pembedahan dan meminta orang ramai mendoakan kesihatan bapanya pulih.

Osman, 70, adalah Menteri Besar Johor ke-16 dan yang pertama daripada Bersatu dilantik selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau menjawat jawatan itu selama 11 bulan sebelum melepaskan jawatan pada April 2019.

Beliau juga adalah Ahli Jawatankuasa Bersatu Johor dan Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 6:15 PM