BARISAN pelakon Langit Cinta.
BARISAN pelakon Langit Cinta.
Oleh Syafil Syazwan Jefri


Tanggal 22 Disember lalu berlangsung tayangan perdana filem arahan Osman Ali, Langit Cinta yang menampilkan Nur Fazura dan Keith Foo sebagai teraju utama.

Selain pengarah dan teraju utama, acara itu juga turut dimeriahkan kehadiran barisan pelakon lain antaranya Farid Kamil, Siti Saleha, Datuk Jalaluddin Hassan dan Fauziah Ahmad Daud.

Osman ketika ditemui berkata kali ini dia mengangkat genre yang pernah ditontonnya ketika membesar.

“Selain filem tempatan, saya suka menonton filem Hindi, Indonesia, Tamil dan banyak lagi. Kebanyakannya berkisarkan kisah cinta dan kekeluargaan, tidak hairanlah mengapa karya sebegitu dekat dengan masyarakat.

“Langit Cinta juga seperti itu, dekat di hati penonton, mudah diterima dan tidak terlalu rumit untuk difahami,” katanya.

Kambah Osman, apa yang diselitkan dalam Langit Cinta berkisar perkara yang biasa dilihat dalam kehidupan seharian, tetapi didramatikkan agar lebih indah untuk tontonan.

“Sebagai pengarah, menjadi tugas saya mencantikkan lagi jalan cerita. Saya yakin masyarakat pasti suka dengan Langit Cinta apatah lagi ia dibintangi ramai pelakon hebat tanah air,” katanya.

Osman turut memaklumkan, bukan mudah menghasilkan karya yang menepati cita rasa penonton yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

“Banyak perkara perlu saya kaji sebelum merealisasikan filem ini. Paling penting saya kena pastikan ia menepati selera penonton masa kini dan kena ambil kira juga latar belakang mereka. Adakah mereka benar-benar dapat menerima karya sebegini?

“Syukur akhirnya filem ini siap dan akan menjengah pawagam tidak lama lagi. Walaupun mencabar saya bangga kerana ini karya pertama saya yang menggabungkan ramai pelakon veteran.

“Bekerja dengan mereka sangat mudah. Mereka tahu apa yang perlu dilakukan dan sentiasa bersedia sebelum ke set penggambaran,” katanya.

Sementara itu Keith berharap Langit Cinta membuka tirai 2016 dengan menjadi contoh terbaik buat semua penggiat industi perfileman tanah air.

“Terima kasih kepada tenaga kerja produksi yang sangat komited menghasilkan filem ini. Harapan saya semoga La­ngit Cinta jadi fenomena seterusnya dijadikan contoh terbaik tahun baru nanti,” katanya.

Berkongsi pe­ngalaman menghidupkan watak Khadeja, Fazura berkata dia jatuh cinta dengan figura berjiwa berani dan kental itu.

“Saya mengagumi sikap Khadeja. Bagi saya dia wanita yang berani dan sa­ngat tabah.

“Sepanjang penggambaran saya banyak belajar dengan Kak Ogy. Ia proses yang sukar, tetapi dengan bimbingan pengarah dan Kak Ogy segalanya berjalan lancar,” katanya.

Langit Cinta mengisahkan gadis kampung bernama Khadeja (Fazura) jatuh cinta dengan Aliff (Keith) yang datang dari bandar. Meskipun hubungan itu tidak direstui keluarga Aliff, mereka berkahwin dan hidup bahagia sehingga berlaku satu insiden yang memisahkan mereka.

Filem Langit Cinta menelan kos sehingga RM1.5 juta dan penggambarannya dijalankan di Pulau Tuba, Langkawi selama 50 hari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2015 @ 3:01 AM