ISMAIL bersama Mohamad Zaki Ramli, 24, yang turut ditikam suspek.
ISMAIL bersama Mohamad Zaki Ramli, 24, yang turut ditikam suspek.

Kuala Terengganu: “Walaupun saya hampir maut ditikam, namun saya tetap maafkan dia,” kata Ismail Ibrahim, 68, yang parah di dada selepas ditikam anaknya di Kampung Tasek, Bukit Payong, Marang, jam 9.30 malam Sabtu lalu.

Sehari sebelum itu, suspek berusia 30 tahun menikam rakan sekerjanya di pos pengawal keselamatan sebuah syarikat utiliti di Kuala Ibai, di sini, jam 11.30 malam Jumaat lalu.

Akibat kejadian itu kedua-dua mangsa terlantar di Wad Pembedahan Lelaki Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, kerana parah di dada.

Ismail berkata, dia menjalani pembedahan kecil dan doktor turut menutup luka di dadanya dengan beberapa jahitan serta memintanya membuat rawatan susulan dalam masa terdekat.

Menurut bapa kepada sembilan anak itu, dia tidak berdendam, malah yakin anaknya tidak sedar ketika kejadian dan dia bersyukur kerana semakin pulih serta dibenarkan keluar hospital, kelmarin.

“Anak ada gangguan mental sebelum ini dan pernah menjalani rawatan di Hospital Tampoi, Johor kira-kira lima tahun lalu.

“Dia cedera di kepala dalam kemalangan ketika berusia 16 tahun dan sering bercakap sendirian sekiranya fikirannya terganggu.

“Bagaimanapun, saya tidak sangka gangguan mentalnya menyebabkan dia tidak mengenali bapa kandung sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Disember 2014 @ 7:51 AM