Zuliaty Zulkiffli


Sanglang: Noralimah Abd Latip, 39, sebelum ini sihat dan bertenaga namun sejak disahkan menghidap kanser leukimia pada November tahun lalu kesihatannya sering terganggu.

Bermula dengan demam panas berpanjangan berserta benjolan kelenjar di bahagian leher, dia pada mulanya menjalani pemeriksaan kesihatan di Klinik Kesihatan Kodiang sebelum dirujuk di Hospital Tunku Fauziah, Kangar di Perlis.

Suaminya, Ahmad Kamal Iyut, 48, berkata, kesihatan isterinya terus terganggu menyebabkan berat badan isterinya terus berkurangan daripada 68 kilogram (kg) kini hanya 57 kg.

Katanya, dia kemudian membawa isterinya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar dan disahkan menghidap kanser selepas mengambil sampel darah.

"Masa itu Allah saja yang tahu kerana kami ada dua anak yang masih kecil berusia empat dan sembilan tahun.

"Namun saya beri dia semangat dan ikut arahan doktor dan isteri saya menjalani rawatan kimoterapi di HSB selama sebulan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu 4, Jalan Sanglang, di sini hari ini.

Ahmad Kamal yang hanya berniaga burger untuk menampung kehidupan keluarga terpaksa menutup sementara perniagaan di hadapan rumahnya itu untuk memberi perhatian kepada isterinya.

Katanya, isterinya yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu penyediaan makanan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani terpaksa mengambil cuti untuk berehat bagi mendapatkan rawatan.

"Isteri saya sebelum ini berulang alik dari HSAH ke rumah tapi sejak sakit, doktor suruh dia banyak berehat.

Ahmad Kamal Iyut menyuap minuman kepada isterinya, Noralimah Abd Latip yang menghidap kanser leukimia sejak November tahun lalu. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Ahmad Kamal Iyut menyuap minuman kepada isterinya, Noralimah Abd Latip yang menghidap kanser leukimia sejak November tahun lalu. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

"Saya kini menggalas tugas sepenuhnya menguruskan rumah selain menjaga anak-anak termasuk memberi makan dan minum kepada isteri kerana saya bimbang melihat keadaannya," katanya.

Ahmad Kamal berkata, dia terpaksa berjimat dengan wang simpanan yang ada kerana perlu digunakan untuk kos ulang alik membawa isteri ke hospital manakala sebahagian lagi untuk makan minum mereka sekeluarga.

Katanya, dia memang berhasrat untuk berniaga semula namun disebabkan perlu menguruskan isterinya, dia perlu bersabar dahulu.

"Isteri pula perlu minum susu khas yang disarankan doktor untuk memberi tenaga buatnya semula tetapi buat sementara waktu, susu itu diberi oleh pihak hospital. Tetapi lepas ini saya kena beli sendiri walaupun harganya mahal," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubunginya di talian 01164453688 atau nombor akaun bank 02123020051911 (Bank Islam) milik Ahmad Kamal.

Terdahulu, Pengerusi Canser Survivor Malaysia (CSM), Zuraini Kamal menziarahi pesakit berkenaan dan menyampaikan sumbangan daripada CSM selain memberi semangat kepada pesakit kanser supaya bersabar menghadapi penyakit berkenaan.

Menurutnya, selain rawatan hospital, pesakit perlu diberi sokongan moral oleh ahli keluarga dan perlu menjaga pemakanan dan kesihatan sewajarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 1:48 PM