BAHARUDIN (dua dari kiri) menunjukkan air dan daun ketum dirampas selepas menahan dua beradik serta tiga sepupu mereka di Ketengah Jaya, Dungun pada sidang media di IPD Dungun, hari ini. FOTO Rosli Ilham.
BAHARUDIN (dua dari kiri) menunjukkan air dan daun ketum dirampas selepas menahan dua beradik serta tiga sepupu mereka di Ketengah Jaya, Dungun pada sidang media di IPD Dungun, hari ini. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


KETERUJAAN dua beradik dan tiga sepupu mereka merebus serta membungkus air ketum di sebuah rumah di Felda Kerteh 4, Dungun berakhir apabila kelima-limanya ditahan polis, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, dua beradik termasuk seorang wanita serta tiga sepupu berusia 16 hingga 47 tahun itu ditahan pada 1.30 tengah hari.

Beliau berkata, sepasukan anggota polis diketuai Sarjan Muhammad Izani Mamat menyerbu rumah terbabit turut merampas dua guni daun ketum kering seberat kira-kira lima kilogram.

“Turut dirampas 5.5 liter air ketum di dalam sebuah periuk serta 15 peket sudah siap dibungkus.

“Ketika serbuan kedua-dua ibu bapa mereka tiada di rumah dan kami percaya daun ketum itu diperoleh dari daerah lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun, hari ini.

Beliau berkata, polis percaya mereka sudah lama melakukan kegiatan itu dan menjualnya kepada pelanggan sekitar kawasan terbabit dengan harga RM2 sebungkus.

Menurutnya, dua daripada suspek positif dadah jenis methamphetamin dan memiliki rekod lampau berhubung dadah.

“Suspek menjual air ketum itu kepada pelanggan yang datang minum di rumah selain dibawa pulang dan kami sedang siasat sama ada mereka juga menjual air ketum kepada pelajar sekolah.

“Semua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Sementara itu, hasrat dua sahabat 'mencipta rekod' menjadi pengedar pertama memasarkan dadah jenis syabu di Dungun tidak kesampaian apabila mereka diberkas polis, Khamis lalu.

Baharudin berkata, kedua-dua suspek berusia 27 dan 37 tahun itu diberkas di sebuah rumah di Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) pada 12.45 tengah hari.

Beliau berkata, hasil serbuan itu, polis merampas tiga bungkus plastik putih mengandungi ketulan kristal dipercayai syabu dianggarkan seberat 153 gram dan bernilai sekitar RM16,000.

“Sepasukan lima anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) daerah diketuai Inspektor Muhammad Haziq Fathe'li menyerbu rumah terbabit hasil maklumat awam.

“Hasil siasatan, suspek mengaku mengambil dadah terbabit dari Pahang dan hasil ujian air kencing kedua-dua mereka positif methamphetamin,” katanya.

Baharudin berkata, dadah jenis syabu sukar diperoleh di Dungun dan pihaknya percaya kedua-dua suspek baru mencuba membawa masuk dadah terbabit untuk dijual kepada penagih di sekitar daerah ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek berusia 37 tahun itu mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah.

“Kami percaya suspek menjalankan kegiatan ini sejak dua bulan lalu dan polis turut merampas wang tunai berjumlah RM520 daripada suspek dipercayai hasil jualan dadah.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 9:35 PM