AIR ketum dan peralatan yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Paka. FOTO Ihsan Polis.
AIR ketum dan peralatan yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Paka. FOTO Ihsan Polis.
Zatul Iffah Zolkiply


POLIS menahan lima lelaki termasuk tiga beradik yang menjadikan rumah di Paka, Dungun sebagai ‘makmal’ memproses air ketum.

Mereka ditahan dalam serbuan pada 9.30 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, semua suspek berusia 14 hingga 24 tahun ditahan bersama 10 bungkusan air ketum.

“Kita memperoleh maklumat mengenai kegiatan itu dan menahan lima suspek di ruang tamu serta menemui 10 paket plastik cerah berisi cecair kehijauan dipercayai air ketum.

“Pelbagai peralatan seperti periuk besar, tong gas, gelung getah dan penapis yang dipercayai digunakan untuk memproses air ketum turut dirampas.

“Hasil siasatan awal, suspek berusia 24 tahun mengaku air ketum itu miliknya dan memaklumkan dia memperoleh daun ketum dari Kelantan untuk diproses di situ,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Baharudin berkata, suspek memaklumkan air ketum itu dijual pada harga RM10 untuk pasaran di Paka.

“Ujian saringan air kencing mendapati dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan adik mereka berusia 14 tahun negatif dadah,” katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 5:45 PM