BAHARUDIN (dua dari kiri) menunjukkan barangan yang ditemui semula berikutan penahanan dua suspek. FOTO ROSLI ILHAM
BAHARUDIN (dua dari kiri) menunjukkan barangan yang ditemui semula berikutan penahanan dua suspek. FOTO ROSLI ILHAM

Rosli Ilham

POLIS menahan dua lelaki yang sedang menjalani perintah sekatan buang daerah beberapa jam selepas menyamun seorang wanita di sebuah rumah di Paka, pada petang Khamis lalu.

Malah, polis menemui semula sebahagian wang disamun selepas suspek berusia 29 dan 40 tahun itu ditahan di sekitar Kerteh dan Kijal di Kemaman.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, seorang suspek terbabit memecah masuk rumah wanita berusia 56 tahun di Paka pada 3.30 petang Khamis lalu.

"Ketika kejadian, mangsa tinggal bersendirian di rumah manakala suami dan anaknya tiada di rumah.

"Suspek yang bertopeng menggugut mangsa dipercayai menggunakan senjata tajam dan meminta mangsa menyerahkan wang tunai," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun, hari ini.

Baharudin berkata, mangsa yang ketakutan membuka peti besi sebelum menyerahkan wang tunai dan barangan kemas dianggarkan bernilai RM123,000.

Beliau berkata, sebaik menerima laporan, polis melancarkan gerakan dan hasil risikan berjaya menahan suspek pertama di Kerteh pada 9 malam.

Katanya, susulan tangkapan itu, polis menyerbu kilang papan di Kijal dan menahan suspek kedua pada 12. 30 tengah malam.

"Hasil tangkapan itu membawa penemuan semula wang tunai RM 7,000 dan pelbagai mata wang asing dianggarkan berjumlah RM6,000.

"Kedua-dua suspek berasal dari Selangor dan Johor dan sednag menjalani perintah sekatan buang daerah atas kesalahan jenayah dan dadah.

"Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mereka memiliki 15 dan 16 rekod jenayah lampau," katanya.

Baharudin berkata, kedua-dua suspek direman enam hari untuk siasatan lanjut kes mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 3:36 PM