Baharudin (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian barangan curi yang ditemui semula. FOTO ROSLI ILHAM
Baharudin (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian barangan curi yang ditemui semula. FOTO ROSLI ILHAM
Rosli Ilham


Dungun: Dua sahabat yang terbabit dengan kegiatan pecah masuk premis menjual peralatan pertukangan dan mencuri kenderaan di daerah ini berjaya ditahan polis.

Penahanan kedua-dua suspek itu juga membantu polis menemui semula tiga kereta Proton Waja yang dilaporkan hilang yang digunakan suspek untuk melakukan jenayah terbabit.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, suspek pertama berusia 38 tahun ditahan di Kampung Teluk Lipat pada 10 Jun, kira-kira jam 1 pagi.

Menurutnya, suspek kedua pula ditahan 12 Jun di tepi jalan di Bandar Dungun, kira-kira jam 7.50 malam.

"Sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun melakukan risikan dan gerakan mengesan suspek selepas menerima dua laporan pecah masuk kedua-dua premis itu yang dilaporkan pada Mei lalu.

"Hasil risikan dan maklumat awam kita akhirnya berjaya menahan kedua-dua suspek dan menemui semula barangan dicuri dari kedua-dua premis terbabit," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun, petang tadi.

Baharudin berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua kenderaan dicuri suspek dilaporkan hilang di Jalan Yahaya Ahmad, Taman Permint dan berhampiran Sekolah Menengah Tengku Intan Zaharah.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan kesemua barangan rampasan dianggarkan bernilai kira-kira RM70,000.

"Salah seorang suspek mempunyai 11 rekod berhubung kes jenayah dan dadah manakala suspek berusia 26 tahun itu mempunyai beberapa rekod jenayah dadah," katanya.

Menurutnya, polis percaya barangan pertukangan dicuri itu akan dijual kepada tukang rumah di sekitar bandar ini pada harga murah.

"Kedua-dua suspek dibawa ke mahkamah dan polis mendapat perintah reman selama 10 hari berakhir pada 20 Jun ini.

"Siasatan lanjut ke atas kedua-dua suspek sedang dijalankan dan kes berkenaan disiasat mengikut seksyen 379A dan 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 6:28 PM