PERALATAN memasak daun ketum yang dirampas polis selepas menyerbu sebuah rumah di Jalan Paka-Dungun, tengah malam tadi. FOTO Rosli Ilham.
PERALATAN memasak daun ketum yang dirampas polis selepas menyerbu sebuah rumah di Jalan Paka-Dungun, tengah malam tadi. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


USAHA penganggur menempah bekalan daun ketum sejauh lebih 500 kilometer (km) dari Perak sebelum mengedarkannya di Dungun musnah apabila dia ditahan polis di sebuah rumah di Jalan Paka-Dungun, tengah malam tadi.

Suspek berusia 20 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun dalam serbuan pada 12.30 tengah malam tadi dan polis merampas 15 bungkusan plastik hitam mengandungi 100 kilogram (kg) daun ketum.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, daun ketum itu ditemui di bahagian ruang tamu rumah berkenan dan polis turut merampas 32 paket plastik mengandungi air ketum dan 45 paket plastik cerah berisi cecair kehitaman disyaki kodein.

Beliau berkata, pihaknya merampas perkakasan dan alat untuk memproses dan membungkus air ketum iaitu alat penimbang, periuk, dapur serta tong gas.

“Hasil soal siasat suspek yang masih bujang mengaku daun ketum itu miliknya dan memperolehnya daripada pembekal dari Perak.

“Suspek mendakwa pembekal itu menghantar bekalan dua kali seminggu dengan kuantiti 100kg setiap kali penghantaran.

“Hasil saringan air kencing mendapati suspek yang tidak memiliki rekod jenayah lampau itu negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Baharudin berkata, rampasan dianggarkan bernilai RM5,500 termasuk RM5,000 nilai bagi daun ketum mengikut harga pasaran semasa iaitu RM50 untuk setiap kg.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 9:50 PM